ADENG IDRUS
LIMBANG: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa ketiga yang bermula semalam menyaksikan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Daerah Limbang tegas dalam menggalas tugasan bagi memastikan tahap pematuhan rakyat terhadap PKP lebih tinggi.
Setelah 29 hari berlalu sejak pelaksanaan PKP Fasa pertama pada 18 Mac lalu, kerajaan memutuskan mulai semalam, sesiapa yang masih ingkar akan terus ditahan untuk dikenakan tindakan mahkamah dan tidak lagi dikompaun seperti fasa pertama dan kedua pelaksanaan PKP.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superitendan (Supt.) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas untuk PKP Fasa ketiga ini dengan terus menangkap dan menuduh mereka yang ingkar di Mahkamah.
Oleh itu, penduduk Limbang diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan bergerak bebas tanpa alasan munasabah,termasuk melepak sepanjang tempoh PKP fasa ketiga dikuat kuasakan bermula semalam hingga 28 April ini.
Malahan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut menuntut komitmen lebih jitu setiap rakyat bagi memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Namun demikian, polis hanya akan memberi kelonggaran kepada perkhidmatan penting termasuk kenderaan dan lori penghantar barang, membabitkan barang makanan, hasil pertanian dan nelayan ke lokasi tertentu, tambah Supt. Abang Zainal ketika ditemui media pada pemantauan PKP Fasa Ketiga dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di hadapan Balai Polis Pusat Limbang, semalam.
Turut sama ialah Pegawai Daerah Limbang; Superi Awang Said, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Limbang; ASP Khairul Ridzuan Ahmad dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang; Inspektor AlRani Alipnor.
Abang Zainal dalam pada itu mengingatkan pengangkut barang-barang penting agar pergi ke Balai Polis Limbang untuk mendapatkan dokumen kebenaran sebagai pengecualian sepanjang PKP ini.
Beliau turut memaklumkan tahap pematuhan bagi daerah Limbang meningkat sebanyak 96.5 peratus pada Selasa dan menjangkakan jumlah itu akan meningkat sebanyak 97 peratus, semalam.
Polis Daerah Limbang telah merekodkan empat tangkapan terhadap mereka yang ingkar PKP pada fasa pertama yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Manakala, sebanyak sembilan tangkapan direkodkan sepanjang tempoh PKP fasa kedua yang berakhir pada 14 April lepas.
Pihak polis menjangkakan jumlah tangkapan PKP fasa ketiga ini akan meningkat berikutan arahan tegas daripada pihak atasan.
Sehubungan itu, tegasnya penduduk Limbang perlu terus memberi kerjasama padu dengan duduk di rumah dan bersatu memutuskan rantaian Covid-19.
Sementara itu katanya, tiada jalan tikus dikesan di Limbang seperti yang dibimbangkan masyarakat di daerah ini terutama pendatang asing tanpa izin dari Indonesia kerana Limbang bersempadan dengan negara jiran, Brunei.