

Mohamad Duri mengadakan pertemuan dengan wakil Kelab Berbasikal Saratok, Suib Jenal di Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka bagi membincangkan persiapan sambutan. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
SARATOK: Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 yang dianjurkan bersama Jabatan Perpaduan, Persatuan Nadi Sihat dan Majlis Daerah Saratok (MDS) bakal singgah di Saratok hujung minggu ini sebagai salah satu destinasi persinggahan utama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri bersama Kaunselor Kasdi Pandi mengadakan pertemuan dengan wakil Kelab Berbasikal Saratok, Suib Jenal di Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka bagi membincangkan persiapan sambutan.
Pelbagai program telah dirangka bagi meraikan ketibaan rombongan kayuhan di Pentas Utama Sri Kalaka.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk pemasangan bendera di beberapa lokasi terpilih sebagai simbolik penyertaan komuniti setempat dalam menjayakan acara ini.
Mohamad Duri dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para peserta dan merakamkan penghargaan kepada penganjur kerana memilih Saratok sebagai salah satu lokasi persinggahan.
“Program ini bukan sahaja menyatukan masyarakat melalui sukan berbasikal, tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat dan menyemarakkan semangat patriotisme bersempena Bulan Kemerdekaan.
“Saya menyokong penuh inisiatif ini,” katanya.
Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 merupakan acara berprestij yang melibatkan kayuhan sejauh ratusan kilometer dari Kudat, Sabah hingga ke Telok Melano, Sarawak.
Ia berteraskan tiga agenda utama iaitu Perpaduan dan Integrasi Nasional, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Semarak Bulan Kemerdekaan 2025.
Mohamad Duri turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada MDS, Jabatan Perpaduan serta Persatuan Nadi Sihat atas penganjuran program berskala besar ini.
Oleh Adi Safarman