
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 di Astana Negeri, 10.00 pagi tadi.
Kunjungan ini diketuai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Menteri Bertanggungjawab sambutan Hari Kebangsaan 2025, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol selaku Timbalan Menteri Bertanggungjawab.
Kunjungan ini bertujuan untuk menyampaikan warkah jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bagi menghadiri pelbagai acara yang akan berlangsung sempena sambutan tersebut.
Bagi tahun ini, Sarikei telah dipilih sebagai tuan rumah. Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah telah dijemput sebagai tetamu kehormat bagi acara Perarakan Perpaduan serta Perhimpunan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak.

Dalam sesi tersebut, Tun Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran penganjuran sambutan tahun ini.
Sesi kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen padu antara kepimpinan negeri dan pihak penganjur dalam menjayakan sambutan perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025.
Tun Wan Junaidi telah menzahirkan harapan agar sambutan ini akan memperkukuh semangat kebersamaan dan terus memupuk semangat perpaduan serta kecintaan kepada negeri dan negara dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Sarawak.