
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah selamat tiba di Hangar Hornbill Skyways pada 11.00 pagi tadi setelah menyempurnakan majlis perasmian Pusat Falak di Bintulu, semalam.
Kepulangan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah telah diiringi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin yang berperanan sebagai Menteri Pengiring sepanjang Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah di Bintulu.
Tun Wan Junaidi menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. atas kelancaran serta kejayaan penganjuran majlis perasmian Pusat Falak tersebut, di samping menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra yang telah diberikan oleh para pemimpin setempat, wakil agensi, serta masyarakat di Bintulu.
Kepulangan ini turut menjadi kesempatan untuk Tun Wan Junaidi beramah mesra, bertukar-tukar pandangan dan memperkukuh hubungan silaturahim bersama semua pihak yang hadir.
-Astana Negeri Sarawak