
SARATOK: Sebanyak 40 unit pakaian keselamatan boleh laras dengan keterlihatan tinggi telah disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri kepada petugas Jabatan Kesihatan Daerah Saratok, hari ini.
Sumbangan tersebut diserahkan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Kalaka dengan kehadiran pegawai serta kakitangan yang terlibat dalam operasi lapangan harian.
Menurut Mohamad Duri, pemberian itu adalah sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada petugas kesihatan yang sentiasa berada di barisan hadapan, khususnya dalam menjalankan tugas di kawasan lapangan yang memerlukan tahap keselamatan tinggi.

Beliau berkata pakaian keselamatan dengan keterlihatan tinggi bukan sahaja memberi perlindungan, malah memastikan petugas mudah dikenali ketika bertugas di kawasan berisiko, terutama di jalan raya, tapak operasi, dan terpencil.
“Keselesaan dan keselamatan petugas adalah keutamaan. Dengan kelengkapan ini, mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih selamat, efisien, dan yakin,” jelasnya semasa melakukan simbolik penyerahan dekat sini.
Dalam pada itu, simbolik penyerahan pakaian keselamatan boleh laras dengan keterlihatan tinggi itu telah diserahkan bersama Pegawai Kesihatan Daerah Saratok, Dr Abdul Mualim Shah Abdul Rani.
Oleh Adi Safarman