
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bertempat di kediaman rasmi di sini, hari ini.
Rombongan tersebut diketuai oleh Dekan Fakulti Dr Ringah Kanyan (Dr Louis), diiringi semua Pensyarah Tekstil dan Fesyen, Dr Asrul Asshadi Mohamad Morni, Dr Marzie Hatef Jalil dan Puteri Ariana Mohd Puat serta Pengarah Korporat Unimas Zukkarnaen Ali.
Tujuan kunjungan ini adalah untuk mengadakan perbincangan ilmiah berkenaan usaha membangunkan idea dan reka bentuk batik bermotifkan identiti Sarawak.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada penciptaan rekaan batik yang berteraskan unsur flora, fauna, seni bina dan warisan etnik negeri ini.
Rekaan batik yang dihasilkan akan diintegrasikan dengan teknik tradisional serta inovasi moden bagi melambangkan kesemua kaum di Sarawak.
Usaha ini bertujuan memperkukuh nilai estetika serta memperkaya warisan seni tempatan dalam konteks kontemporari.
Pada pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi telah berkongsi pengalaman luas serta pengetahuan mengenai sejarah Sarawak, khususnya berkaitan seni tekstil tradisional pelbagai etnik.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menekankan peranan batik dan tenunan dalam adat resam, diplomasi budaya, serta kepentingan melindungi hak cipta reka bentuk agar tidak dieksploitasi oleh pihak luar.
Pihak Unimas menyambut baik pandangan tersebut dan akan melaksanakan kajian mendalam mengenai motif, teknik serta bahan yang bersesuaian.
Panduan dan input yang disampaikan oleh Tun Wan Junaidi menjadi rujukan penting dalam memperkukuh penyelidikan pihak Unimas.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan atas inisiatif Unimas dalam memelihara dan mengembangkan identiti negeri melalui rekaan batik, serta menzahirkan harapan agar projek ini menjadi rujukan unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – Astana Negeri Sarawak