
TANJUNG MANIS: Taklimat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bertujuan memberi pendedahan jelas mengenai perancangan dan strategi jangka panjang kerajaan Sarawak ke arah mencapai negeri yang termaju menjelang 2030.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata tiga tunjang utama untuk mencapai wilayah maju menjelang 2030 berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam lestari.
“PCDS 2030 berpaksikan kepada enam sektor ekonomi utama sebagai pemaju pertumbuhan ekonomi Sarawak yang akan disokong oleh tujuh pemboleh.
“Tujuh pemboleh tersebut adalah transformasi digital, inovasi, pendidikan dan pembangunan modal insan, infrastruktur asa, utiliti, pengangkutan dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan taklimat dan penerangan inisiatif dan PCDS 2030 kerajaan Sarawak sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik bertempat di Dewan IKS, petang semalam.
Katanya, taklimat tersebut adalah sebagai titik tolak untuk berinteraksi secara langsung dan aktif dengan agensi-agensi kerajaan secara bersemuka.

“Berikan maklum balas dan salurkanlah isu-isu berkaitan keperluan tempatan dari masa ke semasa.
“Sarawak juga telah melancarkan inisiatif ekonomi digital menerusi Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang menjadi tonggak utama dalam PCDS 2030.
“Inisiatif ini merupakan pelan pembangunan yang komprehensif untuk mentransformasikan Sarawak menjadi kuasa besar ekonomi digital di rantau ini seiring dengan arus globalisasi dan teknologi,” katanya.
Tambahnya, kejayaan pelan tersebut tidak akan dapat tercapai jika hanya bergantung kepada dasar yang didokumenkan sahaja, namun ia memerlukan penglibatan menyeluruh serta sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat.
“Penglibatan aktif rakyat, terutamanya golongan belia, usahawan dan komuniti dari akar umbi amat penting dalam memastikan transformasi digital ini benar-benar memberi manfaat kepada semua secara menyeluruh.
“Sejajar dengan visi yang jelas, Sarawak bertekad untuk membina sebuah masyarakat yang maju, dipacu oleh data dan inovasi yang mana setiap lapisan rakyat menikmati kemakmuran ekonomi dalam persekitaran yang lestari dan inklusif menjelang 2030,” katanya lagi.
Turut hadir Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah.
Oleh Earl Anek