


TINJAUAN…..Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sarikei dan pegawai JPS Sarikei menjalankan tinjauan dan penilaian menyeluruh di beberapa lokasi untuk kerja pengaliran dan penyelenggaraan sistem perparitan.
SARIKEI: Pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar Bintangor terus mendapat perhatian serius daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Menurut beliau, permohonan peruntukan telah dikemukakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei bagi melaksanakan kerja-kerja pengaliran serta penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan berkenaan.
“Usaha ini bertujuan untuk mengatasi masalah air bertakung dan aliran air tersekat.
“Ia juga bertujuan mengatasi masalah sistem saliran yang kurang berkesan yang sering dihadapi oleh penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sarikei telah turun padang bagi menjalankan tinjauan dan penilaian menyeluruh di beberapa lokasi bagi merancang pelan tindakan penambahbaikan yang lebih berkesan.
Antara kawasan yang dikenal pasti dalam tinjauan tersebut termasuklah Jalan Sing Tung Kwong, Batu 6.5 Jalan Kelupu, Sungai Palaie-Mador, Sungai Jalan Chai Hing Tulai, Jalan Kai Sian Mador, Jalan Rumah Lidik Baling di Sungai Mador, Jalan Tulai dan kawasan Koperasi Tulai.
Dalam pada itu, penduduk tempatan menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Datoʼ Sri Huang Tiong Sii dalam memperjuangkan pembangunan prasarana di kawasan mereka.
Mereka turut menyatakan rasa terima kasih atas kesediaan beliau mendengar suara rakyat serta komitmennya mendapatkan peruntukan bagi menyelesaikan isu setempat dan menambah baik kemudahan asas demi kesejahteraan harian penduduk.
Turut hadir Pegawai JPS Sarikei, Mary Rittie dan Alwani Abdullah.
Oleh Earl Anek