SARATOK: Jawatankuasa masjid digesa menjadikan pusat ibadat itu sebagai membina ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam, sekali gus menyemarakkan masjid atau surau sebagai pusat penyatuan ummah.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Mohamad Duri berkata, aktiviti mengimarahkan atau menyemarakkan masjid tidak sewajarnya tertumpu kepada penglibatan warga emas sebaliknya menuntut kehadiran generasi muda dan wanita.
“Hal demikian penting bagi memastikan fungsi serta peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah dapat dirasai segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agong Pemilihan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muhtadin bagi penggal 2020-2022 dekat sini, baru-baru ini.
Mohamad berkata, masjid dijadikan sebagai pusat untuk melahirkan imam-imam muda yang mana perlu meningkatkan peranan dalam menarik anak-anak muda mendekati masjid dan ajaran Islam sebenar.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan boleh membantu kepada kemajuan pengetahuan Islam sekali gus menyuburkan segala aktiviti masjid.
Terdahulu, Yusuf Trang telah dilantik sebagai Pengerusi Masjid Al-Muhtadin baharu pada sesi mesyuarat khas pemilihan ahli pengurusan bagi sesi 2020-2022 di Masjid Al-Muhtadin.
Jawatan Setiausaha telah disandang oleh Umar Bohari. Manakala, jawatan bendahari pula ialah Madi Bujang, serta Yunus Julai sebagai juruaudit dalaman.
Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada jawatan kuasa pengurusan yang lepas atas segala kerja keras dan usaha dalam memakmurkan Masjid Al-Muhtadin sebagai sebuah institusi yang dihormati di Daerah Saratok.
Beliau turut mengingatkan supaya ahli pengurusan baharu yang telah dilantik itu bersikap profesional dan tidak terbawa-bawa kecenderungan berpolitik kepartian.
“Saya berharap supaya semua ahli pengurusan baharu yang telah dilantik menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan amanah yang telah diberikan itu.
“Sikap matang dan profesional dalam sesuatu pengurusan organisasi akan mencerminkan ketinggian pemikiran dalam tindakan dan gerak kerja. Hanya mereka yang bijak dan berpandangan jauh sahaja mampu membezakan antara keinginan peribadi dan kepentingan organisasi,” ujar beliau.
Beliau juga turut mengingatkan kepada ahli pengurusan Masjid Al-Muhtadin yang baharu itu menjalankan tugas dengan jujur, telus dan amanah selain tidak berpuak-puak hingga masjid menjadi tempat menumbangkan antara satu sama lain.
“Berilah kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada ahli pengurusan yang telah dipilih untuk berkhidmat dengan jayanya. Sumbangkan idea yang bernas untuk menjadikan kepimpinan terus menemui kejayaan tanpa mengira siapapun yang dilantik.
“Jangan pula nanti ada yang jadi musuh dalam selimut dengan menjadi penghasut kepada penduduk lain agar menolak kepercayaan kepada pemimpin yang ada dan timbul amalan berpuak-puak,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman