KABONG: Kerajaan Sarawak komited dalam usahanya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan meluluskan beberapa projek berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat besar untuk rakyat khususnya penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata sejumlah RM900,000 peruntukan telah diperuntukkan bagi melaksanakan sebanyak tiga buah projek di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 bagi DUN Kabong.
Katanya tiga buah projek berimpak tinggi itu ialah membina baharu Pusat Sukan Rakyat Kabong berjumlah RM530,000, naik taraf Pusat Penjaja Kabong (RM300,000) dan naik taraf Jalan Kampung Hilir Darat, Kabong (RM70,000).
“Pelaksanaan projek pembangunan kini sedang rancak dilaksanakan di kawasan DUN Kabong bagi memberi kemudahan kepada masyarakat di sekitarnya.
“Peruntukan berjumlah RM900,000 bagi melaksanakan tiga buah projek di bawah peruntukan RTP 2020 DUN Kabong ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan rakyat,” katanya.
Semalam, Pegawai Tugas Khas kepada ADUN Kabong, Nur Elffi Amir bagi mewakili Chee Kadir telah bersama pihak agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok pada Majlis Ringkas Serah Projek kepada kontraktor yang telah dilantik dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak, khususnya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas kelulusan beberapa projek berimpak tinggi untuk rakyat di kawasan ini.
Katanya terdapat beberapa lagi projek RTP 2020 bagi DUN Kabong yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kita berbesar hati kerana Sarawak mempunyai seorang Ketua Menteri yang sentiasa berfikir untuk rakyat dan sering menghulurkan dana berterusan bagi membangunkan Sarawak termasuk DUN Kabong.
“Ini menunjukkan Abang Jo sangat menyayangi rakyat dan kita semua mesti menyokong perjuangan beliau,” ujarnya.
Chee Kadir berkata, kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak itu bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh para penjaja kecil di Kabong, serta kemudahan jalan yang bakal di naik taraf, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk melakukan aktiviti ria dan sukan.
Menurutnya, prasarana itu juga sekaligus berperanan sebagai platform memupuk semangat perpaduan dan kejiranan.
“Sehubungan itu, saya juga menggesa penduduk agar menganjurkan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan berharap kemudahan ini diurus serta dijaga dengan baik,” katanya.
Tambahnya lagi, pelaksanaan beberapa projek terbabit sedikit tersasar daripada jadual asal adalah disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Hadir sama ialah wakil Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh, wakil Jabatan Kerja Raya Saratok, Adrian Linggie Manjan dan ketua-ketua masyarakat.
Oleh Adi Safarman