
ROBAN: Seramai 147 individu terdiri daripada murid, guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Paul Roban telah menyertai Program Awalan Kesedaran Keselamatan (PROKSPA) 2025 yang dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok, hari ini.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu memaklumkan bahawa program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid prasekolah dan sekolah rendah mengenai langkah-langkah keselamatan diri ketika berdepan situasi kecemasan.
“Melalui PROKSPA, pihak sekolah dan murid-murid didedahkan dengan pendekatan rawatan awal yang boleh dilaksanakan sebelum ketibaan bantuan profesional. Pengetahuan ini amat penting dalam mempertingkat tahap kesiapsiagaan awal,” jelasnya.
Program ini juga memberi fokus terhadap kesedaran tentang pelbagai jenis kecemasan yang berpotensi berlaku di persekitaran harian murid, serta bagaimana mereka dapat bertindak dengan tenang dan berkesan.
Antara modul yang disampaikan dalam sesi ini termasuk asas pertolongan cemas, pengurusan luka dan teknik balutan, latihan kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR), bantuan kes tersedak (Choking) serta pengendalian haiwan berbisa.
“Kesemua peserta turut berpeluang menjalani sesi praktikal secara berkelompok bagi meningkatkan pemahaman melalui pendekatan pembelajaran berasaskan simulasi,” katanya.
Oleh Adi Safarman