
NIAH: Lima Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu yang siap sepenuhnya telah berjaya diserahkan dalam satu majlis ringkas pada hari ini.
Majlis perasmian dan penyerahan projek-projek tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, melibatkan lima kampung.
Projek pertama ialah Dewan Kampung Baru Subis 2 bernilai RM500,000, yang siap pada 18 April 2025. Majlis perasmiannya diadakan di lokasi berkenaan sebagai pembukaan siri penyerahan.
Majlis kedua menyaksikan penyerahan Gelanggang Futsal Rumah Agan, Batu Niah bernilai RM230,000, yang telah siap pada 16 Mac 2025.

Majlis ketiga pula melibatkan Projek Naik Taraf Dewan Rumah Andrew Abak di Batu Niah, dengan kos sebanyak RM300,000.
Penyerahan keempat ialah Gelanggang Silat Rumah Chermi di Saeh Niah bernilai RM250,000.
Sementara itu, projek kelima melibatkan kerja pembinaan bumbung Gelanggang Futsal Rumah Christopher Banyong, juga di Saeh Niah, dengan nilai RM230,000.

Kesemua projek ini telah dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai JKR Miri, Danish, Pemanca Dr Ali Mudin, Penghulu Wan Fauzi, Penghulu Ahmad Zaini, serta beberapa tuai rumah panjang dalam kawasan DUN Bekenu.
Oleh Adum Liu