
MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri menganjurkan majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Perhimpunan Setia bagi Ogos di Auditorium Seri Armada, Pejabat Laut Miri Bahagian Timur, baru-baru ini.
Majlis tersebut menjadi simbol komitmen JPJ dalam memperkukuh budaya integriti dan menolak sebarang bentuk salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam sejajar dengan prinsip tadbir urus yang telus, bertanggungjawab dan beretika.
Ceramah khas daripada wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut disampaikan dengan penekanan terhadap peranan penjawat awam dalam usaha membanteras rasuah serta membudayakan integriti dalam tugas seharian.

Majlis diserikan dengan lafaz Ikrar Rukun Negara dan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Zuelwilson Majit serta disaksikan oleh Penolong Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Cawangan Miri, Zaihairy Mohd. Yunus sebagai tanda sokongan SPRM terhadap usaha memartabatkan integriti jabatan.
Turut hadir, Norizan Jili, Pengarah JPJ Sarawak; Fifi Suhesty, Ketua Cawangan JPJ Miri; dan Lennon Lensi daripada Unit Integriti JPJ Sarawak.
Majlis ini menjadi satu peringatan bahawa ikrar tersebut bukan sekadar lafaz, tetapi janji keramat warga JPJ dalam menjunjung nilai murni dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.