KUCHING: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membatalkan projek rakyat sewenang-wenangnya dan tidak akan memaksa sebarang kontrak dibatalkan dengan cara ugutan.
Setiausaha Politik Menteri Kanan Kerja Raya, Hamzah Ibrahim menegaskan PN menghormati keputusan kerajaan sebelumnya dan memutuskan untuk meneruskan projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR).
“Pada masa sama akan terus memperjuangkan supaya projek yang dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini termasuk tiga jambatan di Sarawak akan tetap dilaksanakan.
“Jadi tidak perlulah untuk bekas Setiausaha Politik Baru Bian, Zehegkiel Piree, mendabik dada bahawa pengumuman kerajaan untuk meneruskan projek SSLR adalah disebabkan kononnya SSLR lebih besar manfaatnya berbanding projek tiga jambatan yang dibatalkan itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, Baru Bian ketika menjadi Menteri Kerja Raya telah membatalkan projek tiga jambatan di Sarawak yang peruntukannya telah diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Ia melibatkan Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion (RM500 juta ditanggung Kerajaan Negeri dan RM500 juta dari Kerajaan Pusat); Jambatan Batang Igan (RM500 juta) dan Jambatan Rambungan (RM100 juta) atas alasan ia adalah jalan pesisir dan terletak di bawah JKR negeri.
“Peruntukan yang sepatutnya digunakan bagi pembinaan tiga jambatan berkenaan juga telah dipindahkan untuk pelaksanaan projek SSLR, sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri Sarawak terpaksa mengambilalih sepenuhnya pelaksanaan projek tiga jambatan terbabit demi rakyat,” jelasnya.
Ujarnya, kerajaan persekutuan amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sentiasa mengutamakan rakyat dan sanggup mengambilalih pelaksanaan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Rambungan.
“Jambatan dan jalan saling melengkapi dengan pembinaan jambatan tidak harus diukur berdasarkan panjang mana jambatan yang dibinakan, tetapi harus dilihat dari segi peranannya sebagai pelengkap kepada keseluruhan jalan pesisir.
“Dengan kata lain manfaat akan dinikmati penduduk bukan sahaja di sepanjang laluan jalan pesisir, malah ke semua bandar atau pekan di seluruh Sarawak, yang boleh dihubungi melalui jalan pesisir berkenaan.
“Di samping itu, Baru Bian sebelum ini juga telah membatalkan fasa 2 projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Limbang dan Lawas dengan Kerajaan Negeri sendiri bersetuju meneruskan dan menanggung kos pembinaan demi kebaikan rakyat di Limbang dan Lawas kawasan mantan Menteri Kerja Raya sendiri,” tambahnya.
Beliau menegaskan keutamaan Kerajaan PN adalah untuk memastikan semua projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat bukannya dipolitikkan.
Oleh Zarina Abdullah