
MARUDI: Aksi pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi awal pagi tadi berjaya mengatasi halangan pokok tumbang yang mengganggu laluan Miri–Marudi selepas kawasan itu dilanda angin kencang dan hujan lebat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 1.52 pagi memaklumkan kejadian tersebut.
Menurut beliau, hujan lebat dan angin kuat melanda kawasan itu antara 8.00 malam hingga 10.00 malam, menyebabkan sebatang pokok besar tumbang dan menghalang laluan utama.
Susulan panggilan itu, pasukan Skuad Charlie APM Marudi yang diketuai Lans Koperal (PA) Mohamad Hassan bersama tiga anggota lain segera dikerahkan ke lokasi pada 1.54 pagi.
“Tiba di lokasi, pasukan terus menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan menggunakan gergaji berantai, sebelum berjaya mengalihkan pokok ke tepi jalan bagi melancarkan semula laluan trafik,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada 2.20 pagi.
Oleh Jiku Juguong