
DARO: Sebanyak 127 pek darah berjaya dikumpul pada Program Derma Darah sempena Pesta Daro 2025 yang diadakan di Dewan Terbuka, di sini pada 2 dan 3 Ogos lalu.
Program yang dianjurkan kerjasama Pejabat Daerah Daro dan Tabung Darah Hospital Daro, merupakan satu usaha murni bagi membantu pesakit yang memerlukan darah serta menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
Dengan tema ‘Derma Darah Dapat Menyelamatkan Nyawa: Setitik Sumbangan, Seribu Harapan,’ kempen ini memberi peringatan bahawa satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa, satu mesej penting dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menderma darah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada Sabtu lalu (2 Ogos) telah melakukan lawatan mesra ke Program Derma Darah sempena Pesta Daro 2025.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penderma serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Komitmen dan kesedaran masyarakat Daro dalam menyumbang kepada tabung darah negara amat membanggakan.
“Saya berharap lebih ramai akan tampil menderma kerana setitik darah anda mampu membawa seribu harapan buat yang memerlukan,” ujarnya menerusi catatan di Facebook Parlimen P207 Igan, hari ini.
Turut diraikan ialah Pemanca Lau Oi Phen dan Long Heng Mini Market atas sokongan mereka dalam membantu kelancaran program dan kebajikan penderma.
Oleh Akun Giman