
BINTULU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengadakan lawatan ke tapak Projek Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Bintulu di sini semalam bagi meninjau sendiri perkembangan pelaksanaan kemudahan kebajikan tersebut.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian dalam memastikan pelaksanaan projek di bawah seliaan YKN berjalan lancar dan menepati objektif untuk membantu golongan yang memerlukan, khususnya keluarga pesakit dari kawasan pedalaman.
Setibanya di lokasi, Datuk Seri Nancy disambut oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Ruslan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Pengarah Hospital Bintulu, Dr Suzalinna Sulaiman.
Beliau turut meninjau kemajuan pembinaan fasiliti yang bakal menyediakan 67 katil serta pelbagai kemudahan seperti bilik penginapan, ruang solat, ruang makan, bilik mandi dan ruang rehat untuk kegunaan ahli keluarga pesakit yang menerima rawatan di hospital tersebut.
Projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara BPHB dan YKN menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai pada 19 September lalu, menjadikan ia satu-satunya Anjung Kasih YKN di Sarawak yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat korporat.
Dengan pelaksanaan projek ini, BPHB menyasarkan untuk menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial korporat.
Oleh Carolyne Utih