
KUCHING: Kenderaan jenis Toyota Vellfire disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dalam Ops Luxury yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, semalam.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, kenderaan mewah itu didapati dipandu tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah menjadikan ia satu kesalahan serius di bawah peraturan jalan raya.
Ops Luxury merupakan usaha berterusan pihaknya dalam memastikan pemilik kenderaan mewah turut tertakluk kepada undang-undang sama seperti pengguna jalan raya yang lain.
Pendekatan ini menegaskan bahawa tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada pematuhan peraturan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Sehubungan itu, JPJ Sarawak menasihatkan semua pemilik kenderaan agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan sah dari segi undang-undang tidak diubah suai secara berlebihan dan dilindungi insurans serta cukai jalan yang masih berkuat kuasa.
“Undang-undang tidak mengenal darjat dan keselamatan di jalan raya adalah hak setiap insan. Tiada nilai kemewahan yang mampu menggantikan harga sebuah nyawa,” tambah kenyataan itu.
Ops Luxury akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kenderaan mewah yang melanggar peraturan jalan raya.
Oleh Amanda L