
MUKAH: Seorang lelaki berasal dari Kuching maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di Kilometer 7 Jalan Oya-Dalat berhampiran Kampung Tanam, awal pagi semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.37 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerahkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Toyota Rush telah melanggar struktur saluran air di tepi jalan.
“Mangsa dikenali sebagai Chung Marn Cherk dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak bomba turut menjalankan kerja-kerja pemadaman kecil selepas mendapati bahagian papan pemuka kenderaan mengeluarkan asap.
“Pasukan bertindak memutuskan sambungan bateri dan menyembur air pada bahagian tersebut,” tambah kenyataan itu.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Tarani Lanting