
SIBU: Kerajaan digesa melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penjualan dan penggunaan produk vape, selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).
Ketua Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata tindakan itu penting bagi menyokong hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merancang untuk melarang sepenuhnya penggunaan dan penjualan produk vape sistem terbuka.
“Saya percaya langkah itu dapat mengelakkan vape daripada mudah diakses oleh golongan belia, terutamanya pelajar.
“Walaupun ada undang-undang, jika tiada penguatkuasaan, kerajaan tetap tidak akan dapat mengawal penjualan produk ini, dan ia tetap akan berleluasa.
“Tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dan juga perlu ada koordinasi antara pelbagai agensi,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan itu memberitahu, cabaran sebenar ketika ini adalah kerana industri vape telah berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu, malah kini seolah-olah menjadi sebahagian daripada gaya hidup sosial dalam kalangan belia.
“Ramai pihak, termasuk ibu bapa muda, semakin bimbang tentang penularan produk vape yang dicampur dengan dadah sintetik. Produk ini sukar dikesan kerana hadir dalam pelbagai perisa dan pembungkusan menarik,” jelasnya.
Lau turut menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan belia mengenai risiko serta kesan jangka panjang penggunaan vape, khususnya yang mengandungi dadah sintetik.
Oleh Akun Giman