
MIRI: Awang Sauni Pengiran Anis, bapa kepada Ahli Parlimen Sibuti, meninggal dunia sekitar 2.45 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, menerusi catatan di Facebook pagi ini. Menurutnya, jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Darul Istiqamah Luak pada 7.30 pagi sebelum dikebumikan di Perkuburan Islam Sungai Beluboh.
“Kami sekeluarga menerima ketentuan ini dengan hati yang reda dan memohon doa agar roh abah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh.
“Sekiranya arwah pernah melakukan sebarang kesalahan, sama ada secara sengaja mahupun tidak, saya mewakili pihak keluarga memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan beliau.
“Saya juga ingin memohon jasa baik tuan dan puan sekiranya arwah ada meninggalkan hutang atau tanggungan yang belum diselesaikan, agar dapat dimaklumkan kepada saya secara langsung untuk tindakan selanjutnya,” tulisnya.
Oleh Liong Chai Ling