
SIMANGGANG: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri turun padang menyantuni mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, Jalan Stawang malam ini.
Nancy dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan bantuan bernilai RM66,900.
Bantuan tersebut merangkumi wang saku, pakaian, peralatan dapur, keperluan sekolah, bahan binaan dan pelbagai barangan keperluan harian.
Selain itu, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut menyalurkan sumbangan ehsan kepada semua mangsa terlibat. Setiap ketua isi rumah menerima bantuan Tabung Bantuan Segera berjumlah RM300 sebagai sokongan awal.
“Semoga Allah S.W.T. mempermudahkan segala urusan dan semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kebajikan mangsa kebakaran serta berharap agar mereka kekal tabah menghadapi ujian ini.
Seramai 21 mangsa daripada lima keluarga telah dipindahkan ke PPS sejak tengah hari Selasa lalu susulan kebakaran yang berlaku di Kampung Tengah, Simanggang.
Kebakaran yang dilaporkan berlaku sekitar 12.14 tengah malam itu telah memusnahkan empat rumah sepenuhnya, manakala dua lagi kediaman mengalami kemusnahan sekitar 80 peratus.
Turut hadir dalam lawatan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, yang bersama-sama memberikan sokongan moral kepada mangsa yang terjejas akibat insiden berkenaan.
Oleh Adi Safarman