
KUCHING: Seramai 25 kanak-kanak telah menyertai Bengkel Teater Kanak-Kanak (BTKK) anjuran Grup Teater Ngoncong (GTN) yang berlangsung selama dua hari di Studio Sang Rawi, Kuching, sempena sambutan ulang tahun ke-30 kumpulan teater tersebut.
Bengkel yang diadakan pada 26 dan 27 Julai itu memberi tumpuan kepada pembelajaran seni lakonan secara kreatif dan interaktif, dengan pendekatan yang menyeronokkan dan sesuai untuk kanak-kanak.
Sepanjang bengkel, para peserta diberi pendedahan asas dalam bidang teater melalui latihan yang memfokuskan kepada pembangunan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta ekspresi pentas.
Ketua Projek BTKK, Syafa’at Zainal Abidin, berkata inisiatif ini merupakan usaha GTN untuk memperkenalkan seni persembahan kepada generasi muda sejak peringkat awal usia.
“GTN kini beralih fokus kepada generasi muda kerana kami percaya bahawa pendidikan seni perlu dimulakan dari awal.
“Kami mahu kanak-kanak melihat teater bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai bentuk pendidikan yang mampu membentuk karakter dan kreativiti mereka,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pendedahan awal kepada teater bukan sahaja dapat memupuk jati diri dan empati, malah memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menerokai potensi diri dalam persekitaran yang inklusif dan menyokong.
Bengkel ini turut mendapat sokongan daripada Rumah Seni Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, yang menyumbang dari segi fasilitasi serta intensif seni, sekali gus menjayakan bengkel dengan lebih profesional dan tersusun.
Penggiat teater terkenal, Abdillah Untong, hadir sebagai penceramah utama dan membimbing peserta melalui sesi eksplorasi watak, teknik vokal, pergerakan tubuh serta latihan emosi yang membantu peserta membina keberanian dan kepekaan di pentas.

Program turut diserikan dengan perkongsian inspirasi daripada Ketua 1 GTN, Hazis Wahab, yang berkongsi pengalaman beliau dalam dunia teater, memberikan gambaran realiti industri serta membuka minda peserta terhadap potensi teater sebagai medium ekspresi dan kerjaya masa depan.
Penganjuran BTKK ini diharap menjadi permulaan kepada lebih banyak program seumpamanya, seiring misi GTN untuk memperluaskan akses pendidikan seni persembahan kepada komuniti, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi dunia seni tanah air.
Bagi peserta, bengkel ini bukan sekadar aktiviti hujung minggu, tetapi satu pengalaman bermakna yang mampu menyemai minat serta mencetuskan impian besar dalam perjalanan seni mereka kelak.