
BARIO: Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) menyertai Pesta Nukenen Bario 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai dengan menampilkan kemajuan pelbagai projek infrastruktur di kawasan pedalaman utara Sarawak.
Antara projek siap yang diketengahkan termasuk kerja menaik taraf jalan sedia ada dari Simpang Long Banga ke Pa Dalih (Seksyen A dan B) serta jalan masuk ke Long Banga yang kini telah banyak meningkatkan tahap keterhubungan dan kemudahan akses untuk komuniti tanah tinggi sekitar.

Di bawah program COMMUNITY@SCORE, kemudahan pelancongan di Bukit Korea turut dinaik taraf merangkumi tandas, laluan simen serta papan tanda ‘BARIO’ bersaiz besar yang diinspirasikan daripada tanda ikonik Hollywood, sekali gus menjadikan kawasan tersebut tarikan pelancongan baharu yang unik dan menarik minat pelawat dari dalam dan luar negara.
Pelawat Pesta Nukenen juga diberi pendedahan mengenai inisiatif berterusan bagi meningkatkan kemudahan asas seperti pembinaan sistem rawatan dan bekalan air baharu untuk Pa’ Ramudu, Pa’ Lungan, Pa’ Mada, Pa’ Dalih dan Batu Patong, selain kerja-kerja pembaikan jalan bekas pembalakan ke Batu Patong, Pa’ Ramudu dan Pa’ Derong.
“Projek-projek infrastruktur ini bukan sekadar naik taraf fizikal semata-mata, tetapi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi masyarakat tanah tinggi,” kata Pengarah Wilayah HDA, Juan Ubit dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, penglibatan HDA dalam Pesta Nukenen adalah bukti komitmen pihaknya terhadap pembangunan inklusif yang menghormati budaya tempatan serta memperkasakan komuniti luar bandar di Sarawak.