
BAU: Penduduk Kampung Atas dan Kampung Badul di Singai, Bau kini menikmati bekalan air bersih yang lebih stabil dan berkualiti hasil pelaksanaan projek menaik taraf Sistem Bekalan Air Graviti (GFS) oleh Chemsain Konsultant Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.
Projek yang dilaksanakan sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu turut disokong Pejabat Daerah Bau dan dilaksanakan bagi meningkatkan infrastruktur asas luar bandar secara mampan serta mengukuhkan semangat kerjasama komuniti.
Kerja-kerja menaik taraf melibatkan penggantian kira-kira 2,000 meter paip PVC bersaiz 3 inci dan 2 inci yang telah rosak dengan paip HDPE yang lebih tahan lama dan bersih bagi memperbaiki kualiti serta kebolehpercayaan bekalan air.
Pasukan infrastruktur dalaman Chemsain juga melaksanakan kerja-kerja membaik pulih struktur empangan sedia ada termasuk pembaikan konkrit, pembinaan semula acuan yang rosak serta pembaikan pada titik saluran keluar air.

Kapasiti empangan turut dipertingkatkan dan saluran bekalan air dilanjutkan ke dewan komuniti kampung bagi kemudahan kegunaan harian.
Menurut Pengawal Kualiti Alam Sekitar, Jack Liam pelaksanaan projek ini bukan sahaja menyediakan air bersih kepada dua kampung terbabit tetapi turut memberi impak positif terhadap kualiti hidup secara inklusif dan mesra alam.
“Saya berharap projek ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara sumber air kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Chemsain Konsultant Sdn Bhd, Brian Chong berkata pihaknya berbangga dapat menyumbang kepada inisiatif yang membawa manfaat sebenar kepada komuniti luar bandar.
“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan Chemsain dalam menyediakan penyelesaian mampan yang berfokuskan komuniti serta kerjasama erat bersama rakan seperti NREB bagi mencapai hasil alam sekitar yang positif,” katanya.
Majlis ringkas bersempena pelancaran sistem bekalan air baharu itu telah dirasmikan bersama oleh NREB dan Chemsain dengan kehadiran penduduk Kampung Atas dan Kampung Badul serta Pegawai Daerah Bau.