Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Serba serbi untung, jangan bingung
  • RENCANA

Serba serbi untung, jangan bingung

Utusan Sarawak 1 day ago
SEBAHAGIAN anggota Pasukan Keselamatan Negara hadir pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, semalam. Foto BERNAMA

USAHA kita menempuh kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, hidup ini tetap perlu diteruskan dengan kekuatan dan kesungguhan.

Selagi kita masih diberikan nafas, itu tandanya kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk berbuat kebaikan dan menambah bekalan amal.

Maka pilihan yang bijak adalah untuk kita meniti kehidupan ini sebaik mungkin dengan sedaya upaya dan penuh keinsafan.

Paling utama, apabila kita memilih Islam sebagai cara hidup, kita sebenarnya telah memilih jalan paling selamat dan paling jelas.

Segala panduan dan acuan hidup telah disediakan dalam ajaran Islam di mana kita hanya mengikut dan mengamalkannya.

Islam bukan sahaja membimbing amalan harian kita, malah menyentuh seluruh aspek kehidupan daripada hubungan dengan Allah SWT, dengan manusia dan juga dengan diri sendiri.

SER – Serlahkan Pengabdian Kita Dengan Beramal Ibadah Sebagai Tanda Keimanan

Kita diciptakan bukan untuk bermain-main tetapi untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Pengabdian ini boleh dizahirkan melalui amalan harian yang dilakukan dengan niat kerana Allah SWT,  walau sekecil mana sekalipun amal itu.

Serlahkan pengabdian dengan memperbanyakkan ibadah, sama ada yang wajib mahupun yang sunat, mengikut kemampuan yang ada.

Beriman kepada Allah SWT bukan sekadar dalam kata-kata, tetapi perlu dibuktikan dengan tindakan.

Orang beriman akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri, menjaga solatnya, membaca al-Quran dan sentiasa bergantung harap hanya kepada Allah SWT.

Semakin kuat iman, semakin tenang hati dalam menghadapi ujian hidup.

BA – Banyak Berkebajikan Melalui Bersedekah Sebagai Musaddiq

Salah satu cara untuk menambah bekalan amal ialah dengan melakukan kebajikan kepada orang lain.

Tidak semestinya dengan wang ringgit, membantu rakan, memberi nasihat yang baik atau meringankan beban orang lain juga dikira sebagai kebajikan. Allah SWT suka kepada hamba yang sentiasa memberi manfaat kepada makhluk-Nya.

Jika kita masih memiliki rezeki walaupun sedikit, jangan lupa untuk bersedekah. Orang yang bersedekah adalah Musaddiq yakni orang yang membenarkan imannya melalui pemberian.

Sedekah bukan hanya menyucikan harta, malah menyucikan hati dan mendekatkan diri kepada rahmat Allah SWT.

Jangan tunggu kaya untuk memberi kerana memberi itulah yang mendatangkan kekayaan sebenar.

SER – Sertai Jemaah Untuk Menjaga Ukhuwah Dalam Setiap Perhubungan Bersama Sahabat

Islam sangat menekankan kepentingan berjemaah.

Dengan menyertai jemaah atau kumpulan yang baik, kita akan lebih kuat, lebih terarah dan lebih terdorong untuk berbuat kebaikan.

Jemaah yang baik akan saling menyokong dan mengingatkan agar tidak hanyut dalam dunia yang penuh cabaran ini.

Menjaga ukhuwah juga adalah satu bentuk ibadah. Hubungan sesama manusia dengan sahabat, jiran, rakan sekerja perlu dipelihara dengan kasih sayang dan hormat-menghormati.

Orang yang menjaga ukhuwah akan sentiasa dicintai Allah SWT dan manusia.

Sahabat yang baik akan membimbing kita ke arah kebaikan dan menjadi cahaya ketika kita dalam kegelapan.

BI – Bibir Berzikir Tidak Melupai Yang Maha Pencipta

Zikir adalah senjata orang beriman. Bibir yang sentiasa menyebut nama Allah SWT akan menenangkan hati dan menjauhkan kita daripada kelalaian.

Tidak perlu yang panjang, cukup dengan kalimah mudah seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sudah cukup menjadi bekalan harian.

Orang yang sentiasa berzikir dipanggil Dzaakir iaitu hamba yang ingat kepada Tuhannya. Bila kita tidak lupa kepada Allah SWT, maka Allah SWT juga akan menjaga dan memberi pertolongan kepada kita dalam pelbagai bentuk.

Zikir juga menguatkan jiwa dan menjadi pengubat dalam saat kesedihan dan kebimbangan.

UN – Untung Beribadah Dengan Amal Mengimbangi Dunia dan Akhirat Sebagai Tanda Bertakwa

Orang yang untung sebenar bukanlah yang memiliki kekayaan dunia, tetapi yang beroleh kejayaan akhirat.

Dan kejayaan itu bermula dengan ibadah yang ikhlas dan berterusan. Beribadah bukan hanya di masjid, tetapi di tempat kerja, di rumah dan di mana sahaja selagi kita niatkan kerana Allah SWT.

Keseimbangan antara dunia dan akhirat penting. Jangan abaikan dunia, tapi jangan tenggelam dalamnya.

Amal yang dilakukan kerana Allah SWT akan menjadikan kita bertakwa dan orang bertakwa itu sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT. Itulah keuntungan paling besar yang boleh kita harapkan dalam hidup ini.

TUNG – Tunggu Akhirat Dengan Mengharap Ganjaran Sebagai Orang Mukmin

Setiap amal kita di dunia ini akan diberi balasan. Sebagai orang mukmin, kita percaya bahawa ganjaran sebenar bukan di dunia, tetapi di akhirat.

Maka, biarlah orang tidak nampak kebaikan kita sekarang kerana yang lebih penting ialah Allah SWT menilainya dan membalasnya di alam kekal nanti.

Jangan takut rugi jika amal kita tidak dibalas segera di dunia. Kadang-kadang, ganjaran itu ditangguh untuk diberi dalam bentuk syurga dan keredhaan Allah SWT.

Sifat mukmin ialah sentiasa bersabar, beramal dan mengharap pada balasan akhirat, bukan pujian atau habuan dunia semata-mata.

Ringkasnya, hidup ini adalah peluang untuk berbuat baik, menambah amal dan mencari keredhaan Allah SWT.

Dalam meniti kehidupan yang penuh cabaran, kita mungkin akan merasa bingung, lelah dan kadang-kadang hilang arah.

Namun, bila kita kembali kepada panduan Islam, kita akan dapati bahawa jalan menuju keuntungan akhirat itu masih luas terbentang.

Dalam erti kata lain, suku kata ‘SERBA SERBI UNTUNG’ mengingatkan kita bahawa untung sebenar bukan sekadar pada harta, pangkat atau pujian manusia.

Untung yang sejati ialah bila kita hidup sebagai hamba yang taat, memberi manfaat kepada orang lain, menjaga hubungan sesama manusia, memperbanyakkan zikir dan ibadah serta sentiasa mengharap ganjaran akhirat.

Jadikan setiap hari sebagai ruang menambah bekalan dan yakinlah bahawa sesiapa yang beramal dengan ikhlas, pasti tidak akan bingung, bahkan akan terus merasa tenang. Ini kerana dia berada di jalan yang betul, menuju untung yang sebenar.

Wallahu ‘alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Episod kebakaran hutan, jerebu tanpa kehadiran fenomena El Nino: Norma baharu? 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.