
Pemain Inter Miami, Lionel Messi (kiri) dan Jordi Alba digantung perlawanan kerana tidak menyertai aksi MLS All Star. - Foto AFP
LOS ANGELES: Bintang bola sepak Inter Miami, Lionel Messi dan rakan sepasukan, Jordi Alba, digantung perlawanan selepas kedua-duanya tidak menghadiri perlawanan Major League Soccer (MLS) All-Star minggu ini, menurut kenyataan liga itu semalam.
MLS memaklumkan bahawa Messi dan Alba tidak akan diturunkan dalam perlawanan hari ini menentang FC Cincinnati susulan ketidakhadiran mereka dalam aksi All-Star berkenaan.
“Menurut peraturan liga, mana-mana pemain yang tidak menyertai perlawanan All-Star tanpa kelulusan awal daripada liga tidak layak untuk bermain dalam perlawanan kelab seterusnya,” kata MLS dalam satu kenyataan ringkas.
Messi dan Alba sebelum ini dipilih untuk mewakili pasukan gabungan MLS dalam perlawanan pada Rabu menentang pilihan pemain dari Liga MX Mexico – sebahagian daripada acara All-Star musim ini.
Namun, kedua-dua pemain itu menarik diri pada pagi Rabu tanpa sebab rasmi diumumkan, menyebabkan mereka berdepan tindakan disiplin.
Komisioner MLS, Don Garber, berkata keputusan untuk menggantung Messi dan Alba adalah “amat sukar”, tetapi perlu dilaksanakan selaras dengan dasar sedia ada liga.
“Saya tahu Lionel Messi sangat menyayangi liga ini. Tiada siapa yang menyumbang sebanyak beliau terhadap MLS.
“Saya faham dan hormati komitmennya terhadap Inter Miami, tetapi malangnya kami ada dasar lama yang perlu dikuatkuasakan,” kata Garber.
Garber turut menjelaskan bahawa pihak liga akan menilai semula polisi berkenaan pada masa akan datang.
“Kami akan meneliti dasar ini secara menyeluruh. Saya komited untuk bekerjasama dengan pemain dalam menentukan bagaimana peraturan ini harus berkembang,” katanya.
Dalam satu sidang media susulan, Jorge Mas – pemilik bersama Inter Miami – melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan liga, sambil mendedahkan bahawa Messi sangat terkesan dan kecewa dengan penggantungan berkenaan.
“Leo Messi sangat kecewa. Saya harap ini tidak memberi kesan jangka panjang,” kata Mas.
Mas juga berkata tindakan itu mungkin memberi kesan kepada persepsi Messi terhadap liga dan peraturannya, di saat rundingan sedang dijalankan bagi melanjutkan kontrak Messi yang akan tamat hujung tahun ini.
“Tanpa ragu, ini memberi kesan. Messi bukan pemain biasa. Dia mahu beraksi dalam perlawanan yang kompetitif,” katanya.
Sebelum ini, Garber juga mengakui bahawa liga sepatutnya dimaklumkan lebih awal mengenai penarikan diri Messi dan Alba, namun pada masa sama menyatakan simpati terhadap jadual padat yang dilalui pemain Argentina itu kebelakangan ini.
Messi, 38, bermain sembilan perlawanan dalam tempoh 35 hari, termasuk empat aksi dalam Piala Dunia Kelab FIFA, dan kesemuanya selama 90 minit penuh. – AFP