SIMUNJAN: Kawasan Gedong bakal menikmati pembangunan yang pesat dalam masa beberapa tahun akan datang dengan adanya sejumlah projek pembangunan yang sedang rancak dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semua pembangunan untuk rakyat itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan luar bandar demi keselesaan rakyat.
“Antaranya adalah projek pesisiran sungai untuk Kampung Gedong sepanjang 500 meter dengan fasa pertama sudah siap melibatkan kos RM7.4 juta.
“Manakala projek pelaksanaan fasa kedua sedang dalam pembinaan dan menelan kos RM15 juta dan fasa ketiga memperuntukkan RM26 juta yang akan mula dilaksanakan September ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke tapak projek Anjung Usahawan Gedong, dekat Simunjan, semalam.
Tambahnya, Gedong juga bakal memiliki kompleks sukan sendiri yang mempunyai kemudahan kolam renang, padang bola dan padang futsal.
“Sehubungan itu, kita berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan pembinaan kompleks baharu itu di Gedong.
“Ia dijangka mula ditender pada November nanti dan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai perhubungan jalan ke Gedong, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan proses tender projek menghubungkan Jalan Lubok Terangas ke Gedong yang melibatkan dua buah jambatan.
“Saya telah meminta JKR untuk mempercepatkan projek yang bernilai RM50 juta itu supaya ia dapat ditender pada bulan Oktober.
“Selain itu, ada juga rancangan untuk membina jalan dari Gedong ke Ulu Simunjan dengan peruntukan RM150 juta dengan menggunakan peruntukan yang diberikan di bawah Agensi Pembangunan Samarahan Wilayah Bersepadu (IRSDA),” jelasnya.
Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais
Oleh Zarina Abdullah