
SONG: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama empat individu lain terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Batu 24, Jalan Musah Kajah, malam tadi.
Ketua Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.50 malam dan segera menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung.
“Seorang mangsa ditemukan dihempap kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di dagu serta mengadu sakit di bahagian dada dan belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kanowit oleh orang awam, manakala tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Menurut Andy, pihak bomba bersama polis turut mendapatkan bantuan daripada syarikat pembalakan Green Hill di lokasi kejadian untuk menggunakan jentolak bagi membuka laluan dan menarik kenderaan yang terjatuh ke tempat selamat.
“Pasukan kami yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) bertindak mengangkat mangsa ke atas pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pihak bomba turut membantu mengangkat mayat mangsa dan membawanya ke dalam kenderaan polis,” katanya.
Oleh Tarani Lanting