
LAS VEGAS: Mario Barrios mengekalkan gelaran juara dunia welterweight WBC selepas seri menentang legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao, dalam pertarungan sengit di MGM Grand Garden Arenai.
Barrios, 30, diasak hebat oleh Pacquiao, 46, yang membuat kemunculan semula selepas bersara empat tahun lalu.
Salah seorang juri memberikan kemenangan 115-113 kepada Barrios, manakala dua lagi juri memberikan skor 114-114, sekali gus mengesahkan keputusan seri majoriti.
Keputusan itu disambut hambar oleh penyokong di arena, yang sebahagian besarnya memberi sokongan padu kepada Pacquiao sepanjang pertarungan dan berharap melihat satu lagi babak gemilang dalam kerjaya luar biasanya.
Pacquiao, yang pernah menjadi juara dalam lapan divisyen berbeza, mempamerkan aksi penuh pengalaman dan taktikal untuk menggugat Barrios pada beberapa pusingan awal.
Namun, Barrios bangkit menguasai tiga pusingan terakhir yang semuanya diberikan kepadanya oleh ketiga-tiga juri bagi memastikan keputusan seri dan mempertahankan gelaran.
Dalam reaksi selepas pertarungan, Pacquiao tampak kecewa tetapi tetap tenang menerima keputusan.
“Saya rasa saya menang. Memang perlawanan itu sengit dan lawan saya cukup kuat. Tapi ia adalah satu pertarungan yang hebat.
“Saya cuba mencari peluang untuk menamatkan pertarungan, tetapi lawan saya sangat kental. Dia menyerang dalam kombinasi dan bertahan dengan baik, jadi agak sukar untuk mencari ruang,” kata Pacquiao.
Barrios pula mengakui kehebatan dan pengalaman lawannya yang dianggap sebagai legenda sukan tinju.
“Saya rasa saya berjaya mengimbangi pertarungan ini, tetapi saya tetap menghormati Manny.
“Satu penghormatan besar dapat berkongsi gelanggang dengan seorang yang mencapai begitu banyak kejayaan dalam sukan ini.
“Kami berikan segala-galanya dalam gelanggang hanya rasa hormat dan kasih,” kata Barrios yang turut mengagumi stamina dan kekuatan fizikal Pacquiao walaupun sudah mencecah usia 46 tahun.
“Memang luar biasa staminanya, dia masih kuat. Dia masih peninju yang sukar untuk dibaca,” katanya.
Keputusan ini mengekalkan Barrios sebagai juara bertahan WBC welterweight, manakala masa depan Pacquiao di dalam gelanggang selepas kemunculan semula ini masih menjadi tanda tanya. -AFP