SINGAPURA: Singapura sedang menyemak semula dasar pembayaran rawatan Covid-19 bagi mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara di bawah aturan perjalanan yang dibenarkan bermula 7 Ogos.
Aturan perjalanan yang dibenarkan merangkumi Lorong Hijau dan Pantas yang sedang dilaksanakan, juga mana-mana aturan perjalanan yang mungkin dilaksanakan pada masa depan.
Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan republik itu Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian berkenaan Covid-19, pada sidang media secara maya di sini, pada Khamis.
Gan berkata pelawat akan dapat memanfaatkan aturan pembiayaan penjagaan kesihatan secara berkala untuk bil perubatan pesakit, “jika mereka mengalami gejala dalam masa 14 hari selepas kembali ke Singapura dan perlu dimasukkan ke wad kerana disyaki mendapat jangkitan Covid-19”.
Dalam kata lain, warga Singapura dan penduduk tetap layak mendapat subsidi kerajaan dan pelan perlindungan MediShield Life/Integrated Shield Plans, namun akan diminta membayar baki bayaran bersama.
Sementara itu, pemegang pas jangka panjang, boleh memanfaatkan aturan kewangan mereka seperti insurans pekerja asing, jika boleh diguna pakai.
Singapura sebelum ini mempunyai aturan perjalanan dengan China dan akan mempunyai dua skim perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) bersama Malaysia, dijadual dilancarkan pada 17 Ogos.
Republik itu sebelum ini mengeluarkan nasihat perjalanan, iaitu kepada mereka yang akan melakukan perjalanan ke luar negara bermula 27 Mac dan seterusnya disyaratkan membayar sepenuhnya bil perubatan mereka sendiri jika dimasukkan ke wad sekiranya mereka mengalami gejala dalam masa 14 hari setelah kembali ke Singapura.
Pasukan petugas menyatakan pelawat yang tidak tertakluk di bawah aturan perjalanan yang dibenarkan dan melanggar nasihat perjalanan itu dengan melakukan perjalanan perlu membayar sepenuhnya bil perubatan Covid-19 mereka tanpa akses pada subsidi dan Pelan perlindungan.
Pemegang pas jangka pendek yang memasuki Singapura di bawah aturan perjalanan yang dibenarkan akan kekal bertanggungjawab terhadap bil perubatan mereka jika diuji positif Covid-19, tambahnya.-Bernama