
BETONG: Persiapan rapi giat dijalankan menjelang Majlis Perasmian Jambatan Batang Saribas 1 serta Pelancaran Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang bakal berlangsung secara bersejarah pada Sabtu ini.
Bagi memastikan acara berjalan lancar, satu Mesyuarat Penyelarasan Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Trafik telah diadakan hari ini di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong dan turut disertai wakil pelbagai agensi penting termasuk Pejabat RELA Betong, JPJ Betong serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Menurut Rejali, mesyuarat tersebut memberi keutamaan kepada penyelarasan pergerakan trafik dan aspek keselamatan sepanjang program berlangsung, memandangkan majlis itu bakal diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“PDRM bertindak sebagai Jawatankuasa Keselamatan dan Lalu Lintas utama, dengan sokongan penuh daripada JPJ dan RELA bagi memastikan kawalan lalu lintas lebih efisien serta keselamatan orang awam dan kenamaan terjamin sepenuhnya,” katanya.
Majlis yang dijadualkan bermula pada 10.00 pagi itu dijangka menarik kehadiran ribuan penduduk dari pelbagai kawasan, memandangkan kepentingan projek mega ini yang bakal membuka lembaran baharu dalam pembangunan Betong.
Dengan kawalan keselamatan yang dirancang secara menyeluruh, Rejali menyeru semua pihak agar memberikan kerjasama penuh supaya majlis bersejarah ini dapat berlangsung dalam suasana tertib, selamat dan teratur.
Oleh Adi Safarman