
SARATOK: Cubaan dua lelaki melakukan rompakan untuk mengaut keuntungan mudah berakhir dengan kegagalan apabila mereka berjaya diberkas polis kurang lima jam selepas kejadian di Simpang Ulu Krian, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, berkata kedua-dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu ditahan sekitar 8.00 malam di kawasan Taman Seroja Indah, hasil tindakan pantas dan siasatan terperinci pasukan polis.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut sekitar 3.00 petang dengan menyasarkan aset milik sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Antara barangan yang dilarikan termasuk satu unit penjana elektrik, dua unit penukar arus dan satu unit tangga dengan anggaran kerugian mencecah RM19,000.
Tambahnya, semua barangan yang dicuri telah berjaya ditemui semula dan dirampas untuk dijadikan bahan bukti siasatan.
Mathew berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis untuk tujuan mencuri yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Beliau turut menegaskan komitmen pihak polis untuk terus membanteras jenayah demi memastikan keselamatan masyarakat setempat sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman