KUCHING: Sebanyak 15 hingga 20 kotak kitar semula akan ditempatkan di Taman Sahabat, pusat beli-belah di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan beberapa tempat tumpuan orang awam bermula semalam.
Ia bagi menyokong ‘Kempen Membunuh Virus, Bukan Alam Sekitar.’
Datuk Bandar MBKS Dato’ Wee Hong Seng memberitahu, kempen ini adalah kerjasama antara MBKS dan Rotary Club.
“Apa yang berlaku sepanjang Covid-19, kita melihat banyak pelitup muka dan bekas botol cecair pembasmi kuman dibuang merata-rata.
“Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk menempatkan kotak kitar semula ini di Taman Sahabat, pusat beli-belah dan di beberapa tempat tumpuan orang awam dengan harapan orang ramai dapat mempraktikan amalan kitar semula dalam diri mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan ‘Kempen Membunuh Virus, Bukan Alam Sekitar’ di Lobi MBKS, semalam.
Tambahnya, kempen ini juga bertujuan untuk membantu menyelamatkan alam sekitar dan melindungi bumi sepanjang Covid-19.
“Saya nasihatkan kepada orang awam supaya tidak membuang pelitup muka dan bekas botol cecair pembasmi kuman sembarangan selepas ini,” ujarnya.
Jelasnya, pihak MBKS akan mengutip semua barangan kitar semula tersebut sekali dalam seminggu.
“Jika ada permintaan tinggi, kita akan tambah kotak kitar semula ini dan saya berharap, kempen ini akan berjaya,” katanya.