KUCHING: Penerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang tidak mempunyai akaun bank mula menuntut wang di Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai, semalam.
Hasil tinjauan di beberapa buah BSN sekitar bandar raya Kuching, para penerima mula membanjiri BSN seawal 6.00 pagi untuk menuntut bantuan berkenaan.
Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, dia mula berbaris menunggu giliran masuk ke dalam bank seawal 6.30 pagi.
“Saya tinggal jauh di Santubong, terpaksa turun awal ke bank kerana takut kesesakan lalu lintas.
“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat wang BKSS,” katanya dengan penuh gembira.
Sementara itu, Suhana Sobeng memberitahu, ini adalah percubaan kali kelimanya untuk menuntut BKSS.
“Saya kategori bujang, sebelum ini kita dijanjikan bahawa wang berkenaan boleh dituntut bulan Jun, namun tarikh diubah lagi iaitu bulan Julai.
“Oleh kerana saya tidak mempunyai akaun bank jadi saya terpaksa ke BSN, kerajaan negeri memberitahu boleh tuntut hari ini (7 Ogos).
“Lega rasanya sebab saya sudah dapat wang berkenaan,” jelasnya.
Unit Perancangan Ekonomi Negeri dalam kenyataan media berkata, terdapat 34,642 penerima isi rumah B40 yang tidak mempunyai akaun bank, manakala 52,374 penerima individu bujang.
Menurutnya, setakat 1 Ogos 2020, sejumlah 43,481 daripada 78,123 isi rumah B40 yang layak berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan telah menerima pembayaran berjumlah RM250 melalui bank masing-masing pada 29 Julai lalu dengan anggaran peruntukan RM10.87 juta.
“Pada 1 Ogos 2020, sejumlah 218,489 daripada 270,863 individu bujang B40 berumur 21 tahun dan ke atas berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan dengan akaun bank telah menerima bantuan sekali RM500 melalui bank masing-masing pada 29 Julai lalu,” katanya.
Menurut kenyataan itu, terdapat juga aduan daripada sebilangan kecil penerima isi rumah B40 bahawa mereka tidak lagi menerima bantuan BKSS untuk Julai 2020 walaupun mereka telah menerima bantuan B40 BKSS pada April hingga Jun 2020.
Ini kerana, berdasarkan senarai BSH 2020 yang dikemas kini dari LHDN, terdapat 115,450 penerima yang sebelum ini berada di bawah senarai isi rumah BHS 2019 B40, kini disenaraikan di bawah senarai BSH 2020 individu bujang B40. Individu bujang B40 ini yang sebelumnya disenaraikan sebagai penerima bantuan isi rumah B40 dari BKSS pada bulan April hingga Jun 2020, oleh itu tidak lagi layak untuk menerima bantuan bulanan yang sama di bawah bantuan BKSS isi rumah B40 kerana mereka kini telah disenaraikan sebagai penerima individu bujang B40.
Oleh Nur Ain Otsman