
KUCHING: Bulan Latihan Komuniti Pickleball anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kini rancak berlangsung dengan sesi latihan percuma diadakan setiap hari Sabtu sepanjang bulan Julai 2025 di PicklePro Kuching, Tabuan Laru Family Club.
Inisiatif ini bertujuan menggalakkan penduduk Kuching Selatan mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif menerusi sukan pickleball yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng turut hadir meninjau sesi latihan tersebut serta beramah mesra dengan para peserta.
“Bersenam secara berkala merupakan salah satu kaedah terbaik untuk kekal sihat dan mencegah penyakit. Saya gembira melihat ramai penduduk mengambil bahagian dalam latihan ini,” kata Dr Sim semasa lawatan tersebut.
Menurut beliau, sesi latihan mingguan ini bukan sahaja menyemai budaya hidup sihat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Setakat ini, seramai 168 peserta telah mendaftar dan semakin ramai menunjukkan minat untuk turut serta,” katanya sambil menyifatkan sambutan hangat itu membuktikan pickleball kini menjadi trend sukan baharu di Kuching.
Sehubungan itu, katanya usaha sedang digiatkan bagi menyediakan lebih banyak kemudahan gelanggang pickleball untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat.

“Kita perlu menyediakan infrastruktur yang sesuai untuk menyokong gaya hidup aktif,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada MBKS atas penganjuran program berasaskan komuniti yang bermanfaat itu.
“Saya memuji inisiatif MBKS yang telah menyediakan lebih banyak peluang untuk penduduk Kuching Selatan kekal aktif dan sihat melalui aktiviti fizikal,” tambahnya.
Dalam pada itu, peserta sesi latihan turut bersiap sedia menghadapi Kejohanan Pickleball Datuk Bandar Kuching Festival yang dijadual berlangsung pada 2 dan 3 Ogos depan.

Kejohanan tersebut akan menampilkan empat kategori iaitu Beregu Wanita Terbuka, Beregu Lelaki Terbuka, Beregu Campuran Terbuka dan Beregu Veteran Lelaki Terbuka.
Peserta berpeluang merebut hadiah menarik termasuk wang tunai, peralatan sukan berkualiti, pingat, piala dan sijil penyertaan.
“Kejohanan ini merupakan platform terbaik untuk memupuk semangat kesukanan, mengukuhkan perpaduan komuniti serta menyerlahkan bakat sukan tempatan,” ujar Dr Sim.