PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) komited memperkukuh kerjasama strategik dalam menyokong agenda pembangunan negeri, khususnya melibatkan tindakan iklim, peralihan tenaga, pembangunan lestari dan pertumbuhan ekonomi inklusif.
Komitmen itu dibincangkan ketika Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat Wakil Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Edward Mario Vrkic di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Pertemuan berkenaan turut membincangkan peluang memperluas kerjasama dalam mempercepatkan peralihan tenaga mampan, memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim dan alam sekitar serta menggalakkan pembangunan ekonomi hijau menerusi penyelesaian inovatif dan perkongsian kepakaran.
UNDP turut menyatakan kesediaan menyokong aspirasi pembangunan Sarawak melalui perkongsian pengetahuan, inovasi serta jaringan kerjasama di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada usaha menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), selaras dengan agenda pembangunan Sarawak yang mampan dan inklusif.
Turut hadir, Timbalan Wakil Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Besian Xhezo; Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan; Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datu Abg Ahmad Abg Morni serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datu Ir Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan.




