KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) Sarawak memperkukuh kerjasama strategik bagi menyokong agenda pendidikan digital negeri.
Usaha itu dibincangkan dalam kunjung hormat Pengurus Besar TM, Encik Mohamad Zulkifli Ismuni kepada Pengarah Pendidikan, Omar Mahli.
Pertemuan berkenaan turut memberi tumpuan kepada peranan TM sebagai penyedia perkhidmatan Internet (ISP) kepada sekolah-sekolah di Sarawak, selain usaha mempertingkat akses serta kesalinghubungan digital dalam sektor pendidikan.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat, tiga sekolah di Sarawak turut menerima sokongan sebagai sekolah angkat TM, masing-masing di Kuching, Julau dan Betong.
Kerjasama antara JPNS dan TM itu mencerminkan komitmen berterusan sektor awam dan industri dalam memacu transformasi pendidikan digital, memperluas akses teknologi serta mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, khususnya dalam memperkukuh pendigitalan pendidikan, infrastruktur dan kesalinghubungan, kerjasama strategik bersama rakan industri dilihat penting bagi memastikan sekolah dan murid di Sarawak tidak tercicir dalam arus transformasi digital.




