MIRI: Pengendali gudang bekalan perubatan di Eastwood Valley Industrial Park di Jalan Miri-Bypass ditangkap mencuri elektrik dalam satu serbuan yang dilakukan semalam.
Jurucakap Sarawak Energy ketika hubungi Utusan Sarawak berkata, serbuan itu dilakukan bersama Unit Pemeriksa Elektrik di bawah Kementerian Utiliti, Tenaga Sarawak dan polis berikutan maklumat awam dan penutupan berterusan pemantauan aktiviti kecurian elektrik yang disyaki berlaku di Miri sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Katanya, pasukan pemeriksaan telah menemui kabel penoreh langsung yang tersembunyi di siling gudang.
“Kabel itu disambungkan terus dari bekalan utama, melewati meter elektrik dan terus ke peralatan elektrik di gudang terkunci.
“Semua penyambungan haram dirampas, dan laporan polis dibuat untuk kes ini,” jelasnya.
Tambahnya, pemilik premis akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik.
“Di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik, mencuri elektrik adalah kesalahan jenayah yang membawa hukuman hingga RM100,000 dan/atau penjara lima tahun jika didapati bersalah.
“Pencurian elektrik bukan sahaja merupakan jenayah tetapi juga membahayakan nyawa, merosakkan peralatan elektrik yang boleh mengakibatkan kebakaran,” katanya lagi.
Sehubungan itu, pelanggan diingatkan untuk tidak mempercayai penyedia perkhidmatan yang mengaku dapat mengurangkan bil elektrik atau membiarkan pemilik premis menikmati penggunaan elektrik tanpa had melalui gangguan meter.
Sarawak Energy akan terus menjalankan aktiviti pemeriksaan meter secara aktif di seluruh Sarawak dengan bantuan semua pihak yang berkaitan terutamanya Kementerian Utiliti dan polis.
Orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang kejadian kecurian kuasa elektrik, termasuk perincian penyedia perkhidmatan pencurian kuasa elektrik melalui pusat khidmat pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau emel customercare@sarawakenergy.com dan semua maklumat akan dirahsiakan.
Oleh Adum Liu