
BEIJING: China telah melancarkan sebuah prototaip kereta api magnetik terapung (Maglev) baharu yang mampu mencapai kelajuan sehingga 600 kilometer sejam, menurut koresponden Sputnik/RIA Novosti.
CRRC Changchun Railway Vehicles mempamerkan prototaip itu pada Kongres Kereta Api Berkelajuan Tinggi Sedunia ke-12 yang berlangsung di Beijing dari 8 hingga 11 Julai.
“Pada masa ini, kami masih berada di peringkat penyelidikan teknikal. Kami berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, pembinaan landasan untuk operasi komersial dapat dimulakan,” kata Shao Nan, Jurutera Kanan CRRC Changchun Railway Vehicles kepada RIA Novosti.
Ini merupakan kereta api Maglev pertama China yang menggunakan magnet superkonduktor bersuhu tinggi bersaiz penuh, kata Shao. Kereta api seperti ini akan menjadi pilihan utama untuk perjalanan antara bandar-bandar besar China termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Wuhan.
Prototaip Maglev baharu ini berukuran 29.355 meter panjang, 3.0 meter lebar dan 3.5 meter tinggi. Maglev ini menggunakan sistem gantungan dwi-mod: kereta api berjalan menggunakan roda getah pada kelajuan rendah dan akan menaikkan roda berkenaan untuk beralih ke mod magnetik terapung setelah mencapai kelajuan 150 kilometer sejam.– Bernama-Sputnik/RIA Novosti