
SERIAN: Penduduk luar bandar di Serian bakal menikmati kemudahan infrastruktur lebih baik apabila projek pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Kampung Mentung ke Kampung Mayang dan kawasan sekitarnya dilaksanakan tidak lama lagi.
Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak RM43 juta di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan dijadualkan bermula pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben, mengumumkan perkara tersebut semasa majlis Perasmian Jalan Baharu Kampung Mentung Mubuk, hari ini.
Bercakap mengenai projek jalan dan pembinaan jambatan baharu di Kampung Mentung Mubuk, ia telah berjaya disiapkan lebih awal iaitu pada 30 Jun lalu, berbanding tarikh asal siap pada 2 September ini.
“Siapnya jalan dan jambatan ini memberi kelegaan kepada penduduk kampung yang telah lebih 40 tahun berdepan dengan kesukaran, terutama apabila terpaksa melakukan ‘double handling’ untuk mengangkut hasil dan keperluan harian,” jelasnya.
Pada majlis sama, Datuk Martin mengumumkan perancangan untuk membina sebuah dewan baharu di Kampung Mentung Mubuk, tertakluk kepada penyediaan tapak oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Selain itu, kerja naik taraf jalan dalam kampung menggunakan konkrit turut dirancang dalam masa terdekat. -UKAS