
KUCHING: Penganjuran Berjalan Kaki 722 sempena Hari Sarawak bukan sahaja memperingati detik bersejarah apabila Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri pada tahun 1963, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan serta cinta terhadap negeri ini.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata penganjuran program tersebut dijadual berlangsung pada 22 Julai 2025.
Menurut beliau, kerjasama antara tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menerusi acara berjalan kaki ini merupakan lambang solidariti dan kebersamaan dalam memperkukuh gaya hidup sihat serta perpaduan masyarakat di Kuching.

“Sebagai Datuk Bandar DBKU, saya ingin menzahirkan komitmen penuh kami dalam menyokong segala usaha yang memupuk perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti.
“Inisiatif seperti ini sejajar dengan aspirasi DBKU dalam membentuk masyarakat bandar yang berbudaya, progresif dan inklusif,” jelasnya pada sidang media penganjuran Program Berjalan Kaki 722 hari ini.
Bagi edisi tahun ini, MBKS akan menjadi tuan rumah penganjuran sulung Program Berjalan Kaki 722, manakala DBKU dijangka akan mengambil alih penganjuran bagi edisi tahun hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini, terutamanya rakan strategik dari MBKS, MPP, Jawatankuasa Komuniti Kuching (CJC) serta semua peserta yang akan mengambil bahagian pada 22 Julai nanti.
Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa orang ramai agar terus menyokong dan meraikan Hari Sarawak dengan semangat kekitaan dan perpaduan.
Oleh Adele Rissa