Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Tiga PBT bersatu anjur ‘Berjalan Kaki 722’ sempena Hari Sarawak
  • TEMPATAN

Tiga PBT bersatu anjur ‘Berjalan Kaki 722’ sempena Hari Sarawak

Utusan Sarawak 18 hours ago
DATUK Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman (kiri), Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng (tengah) dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Tan Kai (kanan).

KUCHING: Sebagai simbol perpaduan dan semangat cintakan negeri, tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menganjurkan acara ‘Berjalan Kaki 722’ bersempena sambutan Hari Sarawak.

Inisiatif ini julung kali diadakan secara bersama, menandakan kerjasama erat demi memupuk semangat kesatuan dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, acara berkenaan akan berlangsung pada 22 Julai ini bermula 6.00 pagi, dengan laluan sejauh tiga kilometer bermula dari Boulevard MBKS hingga ke Tebingan Kuching. 

Ia akan melalui beberapa mercu tanda penting yang mencerminkan pembangunan dan identiti Bandar Raya Kuching.

Menurut Dato Wee, idea penganjuran acara tersebut lahir daripada hasrat tulus untuk mencari kaedah yang bermakna bagi memperingati Hari Sarawak, sambil memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga bandar. 

Tambah beliau, sambutan yang diberikan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman dan Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai amat membanggakan dan menjadi pemangkin kepada kerjasama tiga PBT ini.

“Kita tidak hanya melangkah sejauh tiga kilometer, tetapi turut menelusuri sejarah, warisan, kesihatan dan harapan,” ujarnya ketika berucap pada sidang media, hari ini. 

Beliau menjelaskan bahawa Hari Sarawak yang memperingati detik bersejarah apabila negeri ini memperoleh pemerintahan sendiri daripada British pada 1963 wajar dikenang oleh setiap rakyat Sarawak, terutamanya generasi muda. 

Justeru, penglibatan Majlis Kanak-Kanak dari ketiga-tiga PBT bukan sekadar simbolik tetapi juga bersifat mendidik dan menyemai rasa bangga terhadap negeri sendiri.

Dari sudut warisan pula, beliau berkata aktiviti berjalan bersama melambangkan nilai kekitaan dan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat Kuching selama ini.

Dalam aspek kesihatan, acara ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Ketiga (SDG 3): Kesihatan Baik dan Kesejahteraan. 

Dalam pada itu, penganjuran ini menggalakkan gaya hidup sihat dan penyertaan komuniti secara aktif, sekali gus membina bandar raya sihat yang holistik.

“Dan akhirnya, harapan. Acara ini mencerminkan harapan kita bersama terhadap sebuah komuniti yang lebih bersatu, lebih sihat dan lebih terlibat dalam pembangunan negeri,” katanya.

Dato Wee turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Komuniti Kuching (CJC) yang turut serta menganjurkan program ini serta bertindak sebagai sukarelawan dan pengawal laluan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan acara. 

Beliau menyifatkan komitmen CJC sebagai contoh kepimpinan komuniti yang wajar dicontohi.

Ucapan terima kasih turut diberikan kepada rakan-rakan media yang sentiasa menyokong program anjuran MBKS dan PBT lain dalam usaha mendekati masyarakat.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan orang awam untuk bersama-sama menyertai acara berjalan kaki ini, dengan memakai baju berwarna merah, hitam dan kuning sebagai simbolik kepada warna bendera Sarawak.

Mengakhiri ucapannya, Dato Wee menegaskan bahawa Hari Sarawak bukan sekadar satu tarikh dalam kalendar, tetapi merupakan peringatan akan identiti dan perjuangan rakyat negeri ini.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: DBKU sokong penuh penganjuran Berjalan Kaki 722 Hari Sarawak
Next: 5,000 peserta dijangka sertai Larian Perpaduan Hari Sarawak 2025 di Miri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.