
SIBU: Pesona dan keyakinan yang ditampilkan oleh Mesha Carlynie Jesse berjaya menawan hati para juri sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai Miss Festival Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF) 2025, di Dataran Tun Tuanku Bujang, malam tadi.
Dengan kemenangan tersebut, Mesha membawa pulang wang tunai RM4,000, beserta mahkota, selempang, hamper, jambangan bunga dan sijil penyertaan.
Tempat kedua menjadi milik Axiomara Tijan Andy yang menerima hadiah wang tunai RM3,000, selempang, piala, hamper dan sijil, manakala Emily Renya Lenggang pula menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM2,000, selempang, piala, hamper dan sijil.
Bagi tempat keempat hingga kesepuluh, para finalis menerima wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan masing-masing.
Seramai 10 finalis telah dipilih untuk bertanding di peringkat akhir bagi merebut gelaran Miss BDCF, yang menjadi salah satu acara paling dinanti dalam Festival Kebudayaan Borneo (BCF) tahun ini.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, Timbalan Pengerusi MPS Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak William Anut, Temenggung Stanley Geramong Bandar dan Ketua Penyelaras Pentas BDCF Kaunselor Augustine Merikan.
Oleh Akun Giman