
KUCHING: Selepas beberapa bulan beroperasi, Pawsitive Vibes Café mengumumkan penutupan rasmi premis mereka di Jalan Carpenter pada 31 Julai ini.
Menurut kenyataan pasukan Pawsitive Vibes, keputusan ini dibuat bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyelamatkan, merawat dan mencari rumah buat kucing jalanan di Kuching.
“Kafe ini hanyalah permulaan kepada misi kami.
“Kini, kami akan bergerak sepenuh masa sebagai pasukan penyelamat kucing melalui sokongan yayasan baharu kami di UK dan penderma tempatan,” jelas mereka baru-baru ini.
Sepanjang operasi, sekurang-kurangnya 50 peratus keuntungan daripada kafe dan pembelian ‘merchandise’ seperti baju disalurkan kepada penyelamatan kucing.
Namun, cabaran dalam pengurusan makanan dan minuman menyukarkan mereka untuk terus menampung kos misi penyelamatan.
Kawasan kafe tersebut akan diubah suai menjadi pusat berfokuskan kucing, iaitu tempat untuk bertemu kucing yang sedia diambil angkat, menjalankan jualan barangan amal, serta menganjurkan program komuniti dan aktiviti pengumpulan dana.
Oleh Amanda L.