
KUCHING: Seramai 250 peserta dijangka menyertai Kejohanan Golf Piala Pusingan Datuk Bandar 2025 yang akan berlangsung pada 9 Ogos ini di Kelab Golf Sarawak, sebagai salah satu pengisian sempena Pesta Kuching 2025.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, kejohanan anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan sokongan AFFIN Bank dan kerjasama Kelab Golf Sarawak itu membabitkan dua kategori iaitu Kategori VIP dan Tetamu Jemputan serta Kategori Terbuka yang terhad kepada 120 peserta.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sekadar satu acara sukan.
“Ia merupakan simbol perpaduan antara pelbagai lapisan masyarakat serta menjadi medium mempromosikan bandar raya ini sebagai destinasi sukan dan rekreasi dan juga selaras dengan komitmen DBKU untuk mewujudkan sebuah bandar raya yang lestari, berdaya huni dan mampan, di mana aspek pembangunan fizikal dan sosial bergerak seiring demi kesejahteraan warga kota secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kelab Golf Sarawak, hari ini.
Kejohanan yang akan bermula pada 6.00 pagi itu juga menawarkan hadiah menarik termasuk sebuah kenderaan elektrik BYD Atto 3 Ultra bagi peserta yang berjaya melakukan pukulan dalam satu lubang.
Pelbagai hadiah cabutan bertuah turut ditawarkan kepada peserta yang mengambil bahagian.
Oleh Amanda L.