
Kuching: Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) Cawangan Kuching berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025 pada Sabtu lalu di Hotel Imperial Kuching, melibatkan ahli dan rakan strategik bagi memperkasa advokasi serta pendidikan kesihatan mental di peringkat komuniti.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif advokasi berterusan MHAS, AGM tersebut turut menampilkan taklimat khas mengenai skim perlindungan kesihatan mySalam yang disampaikan oleh Pengurus Tuntutan, Naziha Marzuki, bagi memaklumkan peserta tentang manfaat program perlindungan kesihatan nasional itu.
MySalam merupakan skim insurans awam yang memberi bantuan kewangan kepada kumpulan B40 negara dalam kes penyakit kritikal, kemasukan ke hospital dan kematian.
Taklimat tersebut memberi tumpuan kepada peluasan liputan skim berkenaan yang kini merangkumi penyakit mental seperti Skizofrenia, Gangguan Bipolar dan Gangguan Kemurungan Major.
Sesi penerangan itu menerima maklum balas yang amat positif daripada para peserta, sekali gus mengukuhkan komitmen MHAS dalam merapatkan jurang antara dasar nasional dan kesedaran masyarakat.
Pengerusi MHAS Cawangan Kuching, Dr. Ng Boon Seng berkata kemasukan penyakit mental dalam skim perlindungan nasional merupakan satu pencapaian besar dalam mengiktiraf kepentingan kesihatan mental.
“Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat penting ini kepada masyarakat”, ujarnya.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pelancaran rasmi Larian Amal Kesihatan Mental Kuching 1.0 yang dijadualkan berlangsung pada 2 November depan di Taman MBKS.
Acara komuniti ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental, di samping menyokong matlamat jangka panjang MHAS untuk membina sebuah bangunan dua tingkat yang akan menempatkan pejabat pentadbiran, ruang komuniti, serta Rumah Pemulihan bagi individu yang sedang melalui proses pemulihan.
Rumah Pemulihan merupakan sebuah kediaman berstruktur yang menyediakan persekitaran sokongan kepada individu yang sedang beralih daripada institusi mental ke kehidupan komuniti. Pada masa ini, Rumah Pemulihan MHAS beroperasi di Banglo Lada, Sentosa.
Larian amal tersebut terdapat dua kategori iaitu 3KM Fun Run dan 5KM Fun Run.
Kedua-dua kategori terbuka kepada semua peringkat umur dengan yuran penyertaan RM50, merangkumi baju-T larian, medal dan nombor bib. Hadiah cabutan bertuah turut disediakan kepada peserta berdaftar.
Pendaftaran telah dibuka dan akan ditutup pada 30 September 2025. Pautan pendaftaran boleh diakses melalui platform rasmi MHAS Cawangan Kuching atau terus ke: https://cps4.me/KMHCR25
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Sylvester di talian 016-8082015 atau Angelicia di talian 013-8236097.
Oleh Shikin Mahmud