



LIMBANG: Seorang lelaki hilang dipercayai disambar buaya ketika memancing di sungai dalam kejadian di Kampung Pandam dekat sini, hari ini.
Mangsa, Karim Osman, 58, dilaporkan turun ke sungai pada jam 11 pagi sebelum dipercayai hilang kira-kira jam 1 tengah hari.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam satu kenyataan berkata bilik kawalan menerima laporan mengenai kejadian itu dari Balai Polis Limbang pada jam 1.13 tengah hari.
Sepasukan anggota bergegas ke lokasi yang jauhnya 63 kilometer dari balai untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima laporan.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang mengenai seorang mangsa lelaki telah dibaham buaya ketika sedang melakukan aktiviti memancing.
“Ketika sampai di lokasi, hanya barang-barang serta peralatan yang digunakan oleh mangsa sahaja yang dijumpai dan seterusnya melaporkan perkara tersebut kepada IPD Limbang.
“Setakat ini mangsa belum lagi ditemui,”katanya.
Kampung ini terletak di kawasan pesisir Sungai Limbang yang bersempadan dengan negara Brunei.
Kampung ini boleh diakses dengan perahu atau bot laju dari Limbang dan kampung ini dihuni masyarakat Melayu dan Iban.
Pada 27 Jun lalu, seorang lelaki disambar buaya ketika memancing di tebing Sungai Paroh di Matang, di Kuching kira-kira jam 10 malam.
Mayat mangsa dengan kesan gigitan buaya di beberapa bahagian badan ditemui pada jam 12.30 tengah hari, 28 Jun lalu.
Oleh ADENG EDRUS