
SARIKEI: Komitmen berterusan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, terhadap masyarakat terus terbukti apabila beliau menerima dua jemputan sebagai tetamu kehormat daripada persatuan tempatan di sini.
Kunjungan pertama diketuai Pengerusi Persatuan Klan Ling Bahagian Ketiga, Keenam dan Ketujuh Sarawak (Cawangan Sarikei), Ling Kuong Kiu bersama barisan jawatankuasa, bertujuan menjemput beliau menghadiri majlis jamuan perayaan Kuih Bulan yang akan berlangsung pada 26 September 2025 bertempat di sebuah restoran.
Majlis tersebut dijangka menghimpunkan masyarakat Tionghua setempat dalam suasana penuh perpaduan dan kemesraan sempena sambutan tradisi yang kaya dengan nilai kebudayaan dan sejarah.
Dalam kunjungan kedua pula, Pengerusi Persatuan Biliard Bahagian Sarikei, Elvis Wong Teck Chuan, bersama ahli jawatankuasa menjemput Dato’ Sri Huang ke majlis perasmian Kejohanan Snuker Tertutup Sarawak 2025 yang akan diadakan pada 16 Julai 2025 di Kelab Cue Repok.
Beliau menyambut baik kedua-dua jemputan tersebut dan menyalurkan peruntukan khas sebagai sokongan kepada kejohanan snuker berkenaan.
“Saya amat menghargai peranan persatuan seperti Persatuan Klan Ling dan Persatuan Biliard Sarikei dalam memperkukuh budaya, perpaduan serta semangat belia.
“Inisiatif mereka sangat penting dalam membina masyarakat yang bersatu dan progresif,” katanya selepas menerima kunjungan tersebut di Pusat Khidmat Repok, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut menegaskan bahawa kesejahteraan masyarakat Tionghua sentiasa menjadi keutamaan, dan beliau komited memberikan sokongan kepada usaha pembangunan mereka, khususnya dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan organisasi kemasyarakatan.
Katanya, beliau amat menitikberatkan kesejahteraan masyarakat Tionghua dan sentiasa memberikan sokongan kepada usaha pembangunan mereka khususnya dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan organisasi kemasyarakatan.
“Penyertaan aktif komuniti dalam aktiviti sosial, budaya dan sukan wajar terus digalakkan agar semangat muhibah dan kerjasama antara kaum dapat diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya.
Oleh Earl Anek