
SARATOK: Penganjuran Festival Cabaran Alam Semula Jadi Krian (KFNC) 2025 dijadual akan berlangsung pada awal November tahun ini dengan pelbagai acara baharu yang menjanjikan cabaran fizikal dan mental kepada para peserta.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata tahun ini, KFNC akan tampil lebih menarik dan ekstrem dengan pengenalan tiga acara utama iaitu Cabaran Arung Jeram Sungai Krian, Maraton Krian dan Berbasikal Gunung (MTB) Jamboree Krian yang bakal menjadi tarikan utama festival tersebut.
“Penambahan acara baharu ini bukan sahaja memberi kelainan kepada penganjuran, malah meningkatkan lagi tahap cabaran kepada peserta sama ada individu mahupun secara berpasukan.
“Acara yang dipertandingkan tahun ini lebih mencabar dari segi mental dan fizikal. Justeru, pengumuman awal ini memberi masa yang mencukupi kepada para peserta untuk membuat persiapan rapi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk KFNC 2025 yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, semalam.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil pelbagai agensi, pemimpin komuniti dan penggiat sukan lasak yang bersama-sama menyumbang idea dalam memastikan kelancaran penganjuran acara tersebut.
KFNC 2025 dijangka terus menjadi platform memperkenalkan keindahan alam semula jadi kawasan Krian serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan dan rekreasi.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut iaitu Pegawai Tabdir Menguasa Daerah Kecil Nanga Budu, Hatta Adenan, Penghulu Anyum, Penghulu Josephine Entira, Penghulu Dickson Chendang, agensi-agensi kerajaan dan Tuai-Tuai Rumah kawasan Ulu Krian dan Kabo.
Oleh Adi Safarman